rss

Bab 5 : Jenis-jenis Harta

Bab 5 : Jenis-jenis Harta

HARTA YANG BERHARGA (MUTAQAWWIM) DAN HARTA YANG TIDAK BERHARGA (GHAYR MUTAQAWWIM)

  • Harta yang berharga/bernilai ialah setiap harta yang disimpan oleh seseorang dan syara` mengharuskan penggunaannya. Contohnya seperti semua jenis harta tidak alih dan harta-harta alih juga makanan-makanan atau seumpamanya.
  • Harta yang tidak berharga/bernilai ialah harta yang tidak di dalam simpanan atau dimiliki orang seperti ikan di dalam sungai, burung di udara juga galian yang berada di dalam perut bumi atau harta yang tidak harus digunakannya pada syara` seperti arak, babi, kedua-dua ini tidak harus bagi orang Islam menggunakannya kecuali ketika darurat sahaja seperti bersangatan dahaga atau bersangatan lapar yang boleh membawa mati kalau tidak menggunakannya.

Tujuan pembahagian harta kepada harta yang berharga dan tidak berharga:

1. Harta yang berharga sah untuk semua urusan berakad dengannya seperti berjual beli, hibah, meminjam, gadaian, wasiat dan bersyarikat.

2. Harta yang tidak berharga tidak sah berakad dalam semua urusan seperti tidak sah menjual arak dan babi.

3. Wajib membayar ganti rugi oleh orang yang merosakkan harta yang berharga sama ada ganti rugi barang yang serupa sekiranya ada atau membayar nilai harganya.

4. Harta yang tidak berharga tidak wajib membayar ganti rugi orang yang merosakkannya.

HARTA TIDAK ALIH (`IQAR) DAN HARTA ALIH (MANQUL)

  • Harta tidak alih ialah harta yang tidak boleh dipindah atau diubah dari tempat asalnya seperti bangunan dan bumi.
  • Harta alih ialah harta yang boleh dipindah atau diubah dari tempatnya sama ada bentuk dan keadaannya kekal dengan dipindahkan atau berubah bentuknya seperti wang ringgit, barangan perniagaan, haiwan dan lain-lain.
  • Terkadang harta alih bertukar menjadi tidak alih dan sebaliknya.

Contohnya pintu rumah, tingkap atau jendela akan menjadi tidak alih bila dipasang di bangunan yang tetap buat selamanya, sebaliknya runtuhan rumah atau bangunan, galian yang dikeluarkan dari perut bumi, batu dan tanah akan bertukar menjadi harta alih bila sahaja bercerai dari bumi.

Faedah pembahagian harta kepada harta alih dan harta tidak alih adalah mengikut perbezaan hukum-hukum fiqh seperti berikut:

1. Hukum as-syuf`ah adalah sabit pada harta tidak alih sahaja dan tidak sabit pada harta alih.

2. Hukum jual janji adalah khusus bagi harta tidak alih sahaja. Erti jual janji ialah seseorang yang perlu pada wang maka dia jual harta tidak alih dengan syarat bila ia dapat wang maka akan diambil balik harta tidak alih yang telah dijual itu dengan membelinya semula dari orang yang membelinya ketika ia terdesak.

3. Pemegang amanah harta anak yatim tidak boleh menjual harta tidak alih yang dimiliki oleh anak-anak yatim melainkan dengan alasan yang dibenarkan oleh syara` seperti membayar hutang atau sangat-sangat perlu kepada perbelanjaan untuk anak yatim tetapi mesti mendapat kebenaran dari hakim atau qadhi. Adapun harta alih, maka pemegang amanah harta anak yatim boleh menjualnya bila ada sebarang maslahah pada jualan tersebut.

4. Segala hak yang berkaitan dengan jiran tetangga adalah bersangkut paut dengan harta tidak alih sahaja.