rss

Bab 024 : Zakat

Bab 24 : Zakat

Zakat adalah satu rukun daripada lima rukun Islam, difardhukan dalam bulan Syawal tahun ke 2 hijrah. Dari segi bahasa ialah membersih dan menyubur dan dari segi Syara’ ialah mengeluarkan sebahagian dari harta yang tertentu diberikan kepada yang berhak menerimanya.

Firman Allah Ta’ala  :

وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya :  “ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat ”.   (Surah An-Nur Ayat 56)
Firman Allah Ta’ala :

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا

Maksudnya : “ Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) ”. (Surah As-Syams Ayat 9)

 Hukum Zakat

 Wajib/Fardhu Ain ke atas orang Islam yang sudah sempurna syarat-syaratnya seperti cukup nisabnya,haulnya dan lain-lain lagi.

Firman Allah Ta’ala :

وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya : “ Berilah Zakat ”.  (Surah An-Nisa’ Ayat 77)

Firman Allah Ta’ala :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا

Maksudnya : “ Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).(Surah At-Taubah Ayat 103)

Sabda Rasulullah s.a.w :

عن أبي عبد الرحمن عبد الله بن عمربن الخطاب رضي الله عنهما قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : بني الاسلام على خمس, شهادة أن لاإله إلاالله وان محمدا رسول الله,وإقام الصلاة,وإيتاء الزكاة وحج البيت,وصوم رمضان.
(رواه البخارى ومسلم)

Maksudnya : Dari ‘Abdal Rahman ‘Abdullah Ibn ‘Umar r.a katanya : Aku dengar rasulullah s.a.w. bersabda : Didirikan Islam atas lima (rukun) : Syahadah (pengakuan) bahawa tiada tuhan yang di sembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di baitullah serta puasa di bulan Ramadhan.(Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim)
Syarat-syarat zakat

Terbahagi kepada 2 bahagian :

1) Syarat wajib zakat

2) Syarat sah zakat

Syarat wajib Zakat

  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Sempurna Milik
  4. Cukup Nisab
  5. Cukup Haul (12 Bulan/1 Tahun)

Syarat sah zakat

1)  Niat
2)  Memberi milik (Al-Tamlik)  – diberi kepada orang yang berhak

Kategori Zakat

  1. Zakat Pendapatan
  2. Zakat Simpanan
  3. Zakat KWSP
  4. Zakat Emas/Perak
  5. Zakat Perniagaan
  6. Zakat Saham
  7. Zakat Tanaman
  8. Zakat Ternakan

Keterangan :
Nisab berdasarkan harga emas semasa iaitu 85gm = 20 misqal = 25 mayam 2.7108 saga.

Kaedah Pengiraan Zakat

Zakat Pendapatan
Takrifan :
Imbuhan atau perolehan yang di peroleh oleh individu daripada majikan atau individu samaada pemberian dalam bentuk tenaga atau perkhidmatan profesional atau fizikal dalam tempoh harian, bulanan atau tahunan yang boleh dikenakan zakat.
(Fatwa telah pun diwartakan pada 22 Mei 2000 bagi mewajibkan setiap umat Islam yang telah cukup syarat bagi melunaskan zakat pendapatan).

Kaedah Pengiraan :

Terdapat 2 kaedah pengiraan di mana pembayar zakat boleh membuat pilihan:

Kaedah 1 : (Tanpa penolakan)

Pendapatan dari semua sumber setahun (termasuk elaun-elaun)
RM30,000 x 2.5% = RM 750.00

Kaedah 2 : (Dengan penolakan)

Bil
Perkara
Jumlah
a.
Pendapatan Setahun
RM 30,000.00
b.
Perbelanjaan
1. Diri
RM 8,000.00
2. Isteri (yang tidak bekerja)
RM 5,000.00
3. Anak (RM800.00 seorang x 6 orang)
RM 4,800.00
4. Pemberian Ibubapa
RM 1,200.00
5. KWSP (11%)
RM 3,300.00
6. Caruman ke Organisasi yang membayar zakat
RM 1,800.00
Jumlah Perbelanjaan
RM 24,100.00
c.
Pendapatan yang layak di zakat (a-b)
RM 5,900.00
d.
Zakat yang wajib dibayar (RM5,900.00 x 2.5%)
RM 147.50

Zakat Wang simpanan
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah genap setahun atau cukup nisab.

Kaedah Pengiraan :
1.  Bagi simpanan tetap iaitu setelah cukup haul simpanan selama 354 hari dan melebihi nisab wajib dikeluarkan zakat.
2.  Bagi simpanan biasa pula, adalah berdasarkan jumlah baki terendah satu atau beberapa akaun simpanan dalam tempoh satu tahun . Ianya juga hendaklah diketahui tempoh haulnya iaitu bilakah bermula dan berakhirnya haul bagi simpanan tersebut.
Misalnya :
(Baki terendah bagi tahun 2005 adalah RM4,000.00)
RM4,000.00  x 2.5% = RM100.00
Zakat yang dikenakan adalah sebanyak RM100.00

Zakat KWSP/LTAT Dan Seumpamanya
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan oleh pencarum melalui KWSP/LTAT setelah diperoleh wang caruman tersebut dan cukup nisab serta haulnya.
Kaedah Pengiraan :
1.  2.5% atas caruman KWSP ketika dikeluarkan samaada selepas bersara atau dikeluarkan untuk tujuan-tujuan lain sebelum bersara. Zakat perlu dibayar setiap kali pengeluaran dibuat.
2.  2.5% atas wang simpanan KWSP/LTAT bagi setiap pekerja berdasarkan penyata tahunan.

Zakat Emas/Perak
Takrifan :
Zakat emas dan perak merupakan zakat barangan kemas dan perhiasan wanita. Zakat yang dikeluarkan ke atas emas bergantung samaada emas yang dipakai ataupun yang disimpan yang mana telah cukup nisab dan haulnya.

Kaedah Pengiraan :
Zakat Emas

Pembayaran zakat emas terbahagi kepada 2 iaitu :
1.  2.5% atas nilai emas yang disimpan setahun yang nilai pasarannya melebihi kadar nisab (85gram).
2.  Emas yang dipakai tidak dikenakan zakat melainkan :
Uruf nilai pasarannya melebihi kadar uruf ialah pemakaian setempat yang dibenarkan iaitu  RM5,000.00

Zakat Perak

2.5% ke atas nilai perak yang disimpan atau yang dipakai yang nilainya melebihi kadar nisab (624gram).

Zakat Perniagaan
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan oleh sesuatu perniagaan persendirian (tunggal) perkongsian, Syarikat Berhad, Syarikat Sdn. Bhd, Koperasi dan persatuan yang telah genap setahun operasi perniagaan dan cukup nisab yang mana barangan itu diniat untuk diniagakan dan berkembang.
Kaedah Pengiraan :
2.5% atas harta perniagaan yang layak di zakat yang telah melebihi nisab. (Harta Semasa – Tanggungan Semasa) x peratus pemilikan ekuiti yang dimiliki oleh individu muslim.

Zakat Saham
Takrifan :
Zakat yang dikeluarkan ke atas pelaburan saham yang telah genap setahun dan cukup nisab.
Kaedah Pengiraan :
2.5% atas nilai terendah bagi semua saham yang dimiliki dalam tempoh setahun setelah ditolak pinjaman membeli saham dan tidak kurang dari kadar nisbah.

Zakat Tanaman
Takrifan :
Zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sesebuah negeri yang telah cukup 400 gantang seperti padi, gandum, biji-bijian dan sebagainya.
Kaedah Pengiraan :
5 ausuk bersamaan dengan 400 gantang (setelah dibersihkan dari roman dan hampa) kadar nisab ialah 10% daripada padi atau bijian yang ditanam jika di siram /diairi dengan air hujan semata-mata dan 5% jika diairi menggunakan tenaga.

Zakat Ternakan
Takrifan :
Zakat yang dikenakan ke atas ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing yang tidak digunakan untuk tujuan kerja yang mana telah genap haulnya dan nisabnya.
Kaedah Pengiraan :
Zakat bagi ternakan ialah seekor lembu/kerbau bagi setiap 30 ekor lembu/kerbau dan seekor kambing bagi tiap 40 ekor kambing yang tidak digunakan untuk bekerja.
Qadha Zakat
Berbagai jenis zakat yang tidak ditunaikan semasa ianya wajib berzakat dan jika bayaran zakat dikeluarkan sekarang, ianya sebagai qadha zakat.

 

Sumber : Pusat Zakat Melaka